Wednesday, October 9, 2013

Rujukan Guru dan Murid : Novel KOMSAS Bahasa Melayu Tingkatan 2

Novel KOMSAS Tingkatan 2 : Wira Persona Avatari

Wira Persona Avatari
(Ahmad Zaki Abu Bakar)
Sinopsis 
Pasukan Zamrud II yang diketuai oleh Anas, dan dianggotai oleh adiknya Aina serta empat rakannya, iaitu Pauline, Anjali, Adeen, dan Zuriani menyertai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh yang berlangsung di Kompleks Anggun. Tujuan mereka menyertai pertandingan ini adalah untuk mengulangi kejayaan Pasukan Zamrud yang diketuai oleh ayah Anas,  Profesor Fitri  yang telah menjadi juara pertandingan Avatari sepuluh tahun dahulu. Sebelum pertandingan, mereka telah menjalani beberapa sesi latihan yang keras seperti latihan silat, latihan kecergasan, dan latihan menempuh halangan yang dijalankan oleh Cikgu Nisah.

Pertandingan Avatari ini ialah pertandingan kembara di ruang siber atau adventure game bagi makhluk janaan komputer yang dipanggil avatar. Pertandingan yang menggunakan rangkaian Internet ini dijalankan serentak di seluruh dunia. Terdapat empat peringkat yang perlu dilalui oleh setiap pasukan untuk menjuarai pertandingan yang menawarkan hadiah sebanyak satu juta Ringgit Malaysia ini. Untuk peringkat pertama, seratus pasukan terbaik akan layak ke peringkat kedua. Pada pusingan kedua pula, hanya dua puluh pasukan terbaik yang akan dipilih. Selepas disaring dalam pusingan ketiga, hanya lima pasukan terbaik yang akan meneruskan cabaran ke pusingan yang keempat, iaitu pusingan terakhir.

Pasukan Zamrud II telah berusaha dengan gigih dan berjuang bermati-matian untuk melepasi halangan dan cabaran yang terdapat dalam setiap pusingan. Di samping itu, mereka juga terpaksa menghadapi  ancaman dari dalam pasukan sendiri kerana salah seorang ahli pasukan mereka, iaitu Anjali telah mensabotaj pasukan dengan mencuri cip pemecut mesin Avatari. Masalah menjadi rumit apabila Aina cedera parah akibat ditembak oleh penjahat ketika pasukan mereka bersiap sedia untuk ke pusingan akhir. Namun begitu, semua halangan dan masalah dapat diatasi oleh Pasukan Zamrud II, dan akhirnya pasukan mereka  telah menjuarai pertandingan tersebut.
  
 Tema
Kesungguhan dan semangat perjuangan yang tinggi  untuk mencapai matlamat. Pasukan Zamrud II yang terdiri daripada Anas, Aina, Adeen, Pauline, Anjali, dan Zuriani berlatih bersungguh-sungguh sebagai persediaan menghadapi pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh. Semasa pertandingan mereka berjuang bermati-matian sehingga mereka berjaya menjuarai pertandingan tersebut.

Persoalan
1.    Persoalan persiapan untuk menghadapi sesuatu pertandingan
Anas dan ahli-ahli kumpulannya berlatih bersungguh-sungguh untuk menyertai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh yang berlangsung di Kompleks Anggun.

2.    Persoalan kesabaran dalam menghadapi cabaran hidup
Keluarga Anas masih sabar dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun ayahnya, Profesor Fitri masih hilang semasa mengikuti  ekspedisi rahsia di Lautan Andaman.

3.    Persoalan hubungan kekeluargaan yang erat
Anas amat mengambil berat akan adiknya, Aina.

4.    Persoalan sokongan moral ibu bapa untuk memastikan kejayaan anak
Puan Maizan, Pak Cik Ho dan Mak Cik Angie sentiasa berada di tempat pertandingan Avatari untuk memberikan sokongan moral kepada anak-anak mereka.

5.    Persoalan golongan remaja yang suka menghabiskan masa dengan permainan video
Anjali dan Sudin bermain permainan Robot War di Pusat Permainan Video Game Star yang penuh sesak dengan pengunjung yang terdiri daripada golongan remaja.

6.    Persoalan hubungan erat antara kaum
Ahli-ahli Pasukan Zamrud II yang terdiri daripada Anas, Aina, Pauline, Anjali, Adeen, dan Zuriani dapat bekerjasama tanpa mengira perbezaan kaum.

7.    Persoalan perjuangan mempertahankan maruah agama
Anas dan ahli-ahli Pasukan Zamrud II menentang Pasukan Zion dari Rusia yang mahu membunuh Nabi Muhammad secara maya dalam pertandingan Avatari.

 Watak dan Perwatakan  
 Watak Utama
Anas
Ø  Anak sulung kepada Profesor Muhammad Fitri Izzati dan Mazian
Ø  Berumur 17 tahun
Ø  Ketua Pasukan Zamrud II dalam pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh
Ø  Penyayang – amat menyayangi adiknya, Aina
Ø  Berani – sanggup membahayakan diri untuk menghalang pasukan lawan daripada memenangi pertandingan
Ø  Bijak – bijak mengatur strategi sehingga dapat menjuarai  pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh

Watak Sampingan
Aina
Ø  Adik kepada Anas
Ø  Bertubuh kecil
Ø  Berumur 12 tahun
Ø  Salah seorang ahli Pasukan Zamrud II
Ø  Pintar - – digelar rakan sedarjah “si cili padi”
Ø  Rajin beribadat – berpuasa sunat bulan Rejab
Ø  Gigih – berusaha bersama abangnya untuk menubuhkan Pasukan Zamrud II
Ø  Keras hati – tetap menyertai pertandingan Avatari walaupun dilarang oleh ibunya

Zuriani
Ø  Gadis kacukan Melayu-Inggeris
Ø  Sahabat karib Aina
Ø  Berumur 12 tahun
Ø  Peserta simpanan Pasukan Zamrud II
Ø  Rendah diri – kurang keyakinan terhadap kemampuan diri ketika diminta menggantikan tempat Aina di peringkat akhir pertandingan
Ø  Amanah – tidak memberitahu sesiapa tentang peristiwa kehilangan cip papan litar avatari setelah dipesan oleh PakCik Tan

Kumar
Ø  Anak bongsu Pak Cik Kuppusamy, jutawan barang kemas
Ø  Panas baran – lekas marah kerana Adeen lewat tiba di Pusat Permainan Video Games Star
Ø  Angkuh – tidak mahu menyertai  Pasukan Zamrud II kerana tidak yakin akan keupayaan komputer Avatari Pak Cik Ho
Ø  Menginsafi kesilapan diri – berasa menyesal kerana telah memperkecil keupayaan  Pasukan Zamrud II

Adeen
Ø  Anak Profesor  Zakri
Ø  Berumur 18 tahun
Ø  Pengendali komputer Avatari
Ø  Pelajar jurusan kejuruteraan komputer di kolej khas, di Koridor raya Multimedia
Ø  Sangat pintar – mempunyai I.Q yang tinggi/ penggodam komputer yang cekap
Ø  Sabar – tidak bertindak terburu-buru dengan tindakan biadap Kumar

Pauline
Ø  Anak tunggal Pak Cik Ho
Ø  Berumur 17 tahun
Ø  Salah seorang ahli Pasukan Zamrud II
Ø  Menaruh hati terhadap Anas
Ø  Manja dengan ayahnya, Pak Cik Ho
Ø  Berani – sanggup menegakkan pendiriannya semasa bertengkar dengan Kumar

Anjali
Ø  Adik kepada Muthu, iaitu seorang ketua kongsi gelap
Ø  Anak yatim - tinggal dengan abangnya setelah ibunya meninggal dunia dan bapanya meninggalkan mereka
Ø  Kasar – dipengaruhi oleh didikan abangnya
Ø  Pembelot – sanggup mengkhianati Pasukan Zamrud II setelah diarahkan berbuat demikian oleh abangnya
Ø  Pandai bermain permainan video – mengalahkan Sudin dalam permainan Robot War

Binaan Plot 
Tidak mengikut kronologi – Bab pertama (Poster Misteri) didahului dengan puncak (klimaks) cerita.

Permulaan
Aina mengajak abangnya, Anas untuk mengambil bahagian dalam Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh yang berlangsung di Kompleks Anggun. Mereka menubuhkan Pasukan Zamrud II yang diketuai oleh Anas, dan dianggotai oleh adiknya Aina serta empat rakan mereka, iaitu Pauline, Anjali, Adeen, dan Zuriani.

Perkembangan
Pasukan Zamrud II menjalani latihan sebagai persediaan untuk pertandingan. Berkat kegigihan dan kerjasama berpasukan, mereka berjaya melepasi halangan dan cabaran dalam pusingan pertama, pusingan kedua, dan pusingan ketiga. Anjali telah mensabotaj Pasukan Zamrud II dengan mencuri cip pemecut mesin Avatari.

Puncak
Semasa Pasukan Zamrud II bersedia ke peringkat keempat, iaitu pusingan akhir pertandingan, Aina cedera ditembak di bahu oleh penjahat yang cuba mencuri baju-baju khas pertandingan Avatari di bilik persalinan. Aina dibawa ke hospital dan tempatnya digantikan oleh Zuriani.

Peleraian
Pasukan Zamrud II menjuarai menyertai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh dan memenangi hadiah sebanyak hadiah sebanyak satu juta Ringgit Malaysia. Aina yang masih dirawat di hospital mendapat berita gembira bahawa ayahnya, iaitu Profesor Muhammad Fitri dan kumpulan penyelidik yang hilang di Lautan Andaman telah dijumpai.


Teknik Plot
1.    Dialog
Contoh: “Kenapa Abang Adeen lambat?” tanya Aina lagi.
              “Maaf, terlepas komuter tadi,” jawab Adeen.

2.    Suspens
Contoh: Pak Cik Tan bersembunyi di dalam bilik persalinan untuk mengetahui orang yang mencuri cip pemecut mesin Avatari.

3.    Kejutan
Contoh: Adeen ternampak dua orang lelaki yang mencurigakan di bilik persalinan.

4.    Imbas kembali
Contoh: Anas teringat akan kata-kata ayahnya yang mahu Anas dan Aina menjadi juara pertandingan Avatari seperti yang pernah dicapai oleh ayahnya dan Pasukan Zamrud sepuluh tahun lalu.

5.    Monolog
Contoh: “Tak sangka Aina pandai tulis sajak, walaupun perlu diperbaiki lagi,” kata Anas sendirian.

Gaya Bahasa 
Ø  Diksi
·         Istilah Komputer
Contoh:  browser, CPU, kayu ria, kamar bicara, papan litar
·         Slanga
Contoh: amoi cantik,  hei tambi

 Ø  Peribahasa
  Contoh: nasi sudah menjadi bubur;
              kalau tidak ada rotan, akar pun berguna juga
              hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih
              macam enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing

Ø  Pembinaan Ayat
·         Bahasa mudah dan menarik
·         Ada ayat pendek
Contoh: Samy semakin nekad
·         Ada ayat panjang
Contoh: Pengalamannya sebagai banduan cukup mengajarnya supaya menghargai kebebasan

 Ø  Personifikasi
Contoh:  Petang semakin tua

 Ø  Simile
Contoh: …seperti semut merah menghurung lipas mati
              …seperti halilintar membelah bumi

 Ø  Hiperbola
Contoh:  …mata yang tajam  
               ...berjalan di atas kepulan awan


Latar 
Latar Masa
 Ø  Zaman sekarang – golongan remaja bermain permainan komputer dan menggunakan Internet

 Ø  Zaman prasejarah – setiap pasukan dikehendaki ke zaman prasejarah secara maya dalam peringkat pertama pertandingan Avatari

 Ø  Zaman Mesir kuno – pasukan yang layak ke peringkat kedua pertandingan Avatari mengembara secara maya ke zaman Mesir kuno untuk mencari pelbagai objek harta karun berdasarkan petunjuk yang akan diperoleh daripada teka silang kata yang diselesaikan oleh peserta.

 Ø  Zaman Kesultanan Melayu Melaka – Pasukan Zamrud II memilih untuk ke zaman Kesultanan Melayu Melaka secara maya untuk menghalang Portugis daripada menawan Melaka.

Latar Tempat
 Ø  Kompleks Beli-belah Anggun – tempat pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh dilangsungkan
 Ø  Rumah Profesor Fitri – tempat tinggal Anas dan Aina
 Ø  Pusat Permainan Game Star – Anjali dan Sudin bertanding dalam permainan Robot War
 Ø  Pangsapuri Pak Cik Ho – Anas dan Aina berkunjung ke pangsapuri Pak Cik Ho untuk berbincang tentang penubuhan Pasukan Zamrud II.
 Ø  Kawasan bukit di Batu Layar – tempat Cikgu Pasukan Zamrud II menjalani latihan kembara

Latar Masyarakat
 Ø  Masyarakat bandar yang celik komputer
Contoh: Anas dan Aina melayari Internet untuk mencari maklumat tentang pertandingan Avatari

 Ø  Masyarakat remaja yang meminati permainan komputer
Contoh: Pusat Permainan Video Game Star sentiasa sesak dengan pengunjung yang terdiri daripada golongan remaja.

 Ø  Masyarakat elit
Contoh:  Anas, Aina, Pauline, Adeen, dan Kumar datang daripada keluarga elit kerana ayah mereka merupakan jutawan, ahli perniagaan, dan profesor.

 Ø  Masyarakat bandar yang miskin
Contoh: Anjali ialah anak yatim yang dibesarkan dalam keadaan yang amat daif lagi mencabar.

 Ø  Masyarakat yang gemar melakukan jenayah
Contoh:  Abang Anjali, iaitu Muthu merupakan ketua samseng yang diarahkan untuk menimbulkan huru-hara di Pusat Permainan Video Game Star.

Nilai  
  1. Nilai bertanggungjawab
Contoh: Anas berasa bertanggungjawab mengambil alih peranan sebagai orang lelaki di rumah selepas ayahnya hilang semasa menjalankan ekspedisi misteri di Laut Andaman.

  1. Nilai kasih sayang
Contoh: Anas sangat menyayangi adiknya, Aina.

  1. Nilai keberanian
Contoh:  Anas membahayakan dirinya dalam usaha untuk memastikan kejayaan Pasukan Zamrud II dalam pertandingan Avatari.


  1. Nilai kesabaran
Contoh: Adeen sabar dengan karenah Kumar yang angkuh.

  1. Nilai keinsafan
            Contoh: Kumar menyesal kerana telah memperkecil keupayaan  Pasukan Zamrud II.

          6.    Nilai kegigihan

            Contoh: Pasukan Zamrud II yang diketuai oleh Anas gigih berlatih sehingga menjuarai                 Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh.

Pengajaran   
  1. Kita hendaklah berani berjuang untuk mencapai matlamat
Contoh: Anas membahayakan dirinya untuk memastikan Pasukan Zamrud II menjuarai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh.

  1. Kita perlulah mengetepikan kepentingan diri sekiranya ingin mencapai kejayaan dalam pasukan
Contoh: Cikgu Nisah menasihati Pauline supaya mengubah sikapnya yang cemburu terhadap Anjali.

  1. Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai matlamat
Contoh: Ahli kumpulan Pasukan Zamrud II gigih berlatih sehingga menjuarai     Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh.
  
 4.    Kita haruslah sanggup berjuang untuk mempertahankan agama
Contoh: Anas sanggup menentang Pasukan Zion dari Rusia yang mahu membunuh Nabi Muhammad semasa peringkat akhir pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh dengan dibantu oleh ahli Pasukan.

5.    Kita tidak harus mengkhianati kepercayaan orang terhadap kita
Contoh: Anjali mensabotaj Pasukan Zamrud II sehingga pasukan itu hampir-hampir tewas dalam pertandingan Avatari.

6.    Kita mesti bekerjasama dan mengamalkan semangat berpasukan untuk menjamin kejayaan sesuatu pasukan dalam pertandingan
Contoh: Semua ahli Pasukan Zamrud II mempunyai semangat berpasukan yang tinggi sehingga berjaya menjuarai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh.

Latihan
  1. Jelaskan tema yang terdapat di dalam novel Wira Persona Avatari.
  2. Terangkan dua latar tempat dan dua latar masa yang terdapat di dalam novel yang anda kaji.           
Jawapan 
  1. Tema yang terdapat di dalam novel Wira Persona Avatati ialah kesungguhan dan semangat perjuangan yang tinggi  untuk mencapai matlamat. Pasukan Zamrud II yang terdiri daripada Anas, Aina, Adeen, Pauline, Anjali, dan Zuriani berlatih bersungguh-sungguh sebagai persediaan menghadapi pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh. Semasa pertandingan mereka berjuang bermati-matian sehingga mereka berjaya menjuarai pertandingan tersebut.

  1. Latar tempat yang terdapat dalam novel yang dikaji
     Ø  Kompleks Beli-belah Anggun iaitu tempat berlangsungnya pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh.
     Ø  Pangsapuri Pak Cik Ho iaitu Anas dan Aina berkunjung ke pangsapuri Pak Cik Ho untuk berbincang tentang penubuhan Pasukan Zamrud II.

Latar masa yang terdapat dalam novel yang dikaji 
     Ø  Zaman prasejarah iaitu setiap pasukan dikehendaki ke zaman prasejarah secara maya dalam peringkat pertama pertandingan Avatari.
     Ø  Zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu Pasukan Zamrud II memilih untuk ke zaman Kesultanan Melayu Melaka secara maya untuk menghalang Portugis daripada menawan Melaka.


9 comments:

  1. Pn Norhayati komsas ini akan keluar dalam peperiksaan ke ?

    ReplyDelete
  2. Li Yin, antara yang di atas akan keluar.

    ReplyDelete
  3. Replies
    1. bukan semuanya, tapi kalau baca semuapun tiada masalah kan?

      Delete
  4. Terima kasih cikgu... Doakan kami semua agar Allah memudahkan kami dalam menjawab periksa...

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya Qis, doa ckg sentiasa bersama-sama anda semua. semoga dapat buat yang terbaik esok.

      Delete
  5. Cikgu nak rujukan KOMSAS kasut kelopak jantung, gema sepi dan harga sebuah lukisan...

    ReplyDelete
  6. Cikgu nak nota NOVEL MERENANG GELORA

    ReplyDelete