Showing posts with label TINGKATAN 2. Show all posts
Showing posts with label TINGKATAN 2. Show all posts

Monday, March 31, 2014

Latihan Ringkasan “Langkah-langkah untuk Mengatasi Kemasukan Pembantu Rumah Asing”

Bahagian A (i)
(Masa yang dicadangkan: 40 minit)
(20 markah)


Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian, buat satu ringkasan tentang langkah-langkah untuk mengatasi kemasukan pembantu rumah asing. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

            Pembantu rumah asing yang melarikan diri daripada majikan mempunyai niat lain sebelum menjejakkan kaki ke negara ini. Sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu bahawa pembantu rumah asing sebenarnya bukan untuk terus bekerja sebagai amah, sebaliknya mencari peluang yang lebih baik. Golongan pembantu rumah asing seumpama ini dilaporkan terlibat dalam pelbagai kes jenayah berkaitan dengan harta benda dan salah guna permit untuk tujuan lain.
            Kebanyakan pembantu rumah yang terbabit dalam kegiatan tersebut diambil bekerja melalui saluran yang tidak sah. Berikutan itu, kebanyakan majikan enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk pihak polis dan Jabatan Imigresen kerana bimbang akan dikenakan tindakan kerana mengambil pembantu rumah secara haram. Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri berkata, pihaknya mengeluarkan arahan kepada semua pengarah imigresen seluruh negara supaya memantau kes pembantu rumah asing dan bertindak tegas untuk mengatasinya.
            Sudah tiba masanya pihak berkuasa mengetatkan syarat pengambilan pembantu rumah terutama agensi yang menawarkan perkhidmatan mereka. Jabatan Imigresen misalnya, perlu mempunyai maklumat lengkap berserta gambar setiap pembantu rumah yang diluluskan pengambilannya sebagai rekod. Setiap pembantu rumah yang dibatalkan permitnya akibat terbabit dengan kesalahan jenayah, akan disenaraikan gambarnya di Jabatan Imigresen atau dimasukkan ke dalam fail khas untuk tindakan selanjutnya.
            Agensi pembantu rumah asing juga perlu bertanggungjawab dalam menyediakan pelbagai latihan asas termasuk perkara-perkara yang berkaitan dengan adat resam dan kebudayaan masyarakat setempat supaya pembantu rumah memahami suasana persekitaran tempat mereka bekerja. Latihan seminggu atau tiga hari tidak mencukupi. Selain itu, perjanjian antara majikan, agensi dan pembantu rumah asing patut dibuat untuk mengelakkan sebarang masalah.
            Fenomena ini mencerminkan wujudnya ketidaksefahaman antara pembantu rumah asing dengan pihak ketiga, iaitu agensi di negara ini atau agensi di negara asal pembantu rumah tersebut. Faktor lain yang menyebabkan mereka melarikan diri termasuklah didera secara fizikal dan mental serta tertarik dengan tawaran kerja atau gaji yang lebih baik.

(Diubahsuai daripada Profesionalisme Isu Pembantu Rumah,
Dewan Masyarakat,
Disember 2005)


Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Apakah maksud rangkai kata wujudnya ketidaksefahaman?                          
(2 markah)

2. Nyatakan dua faktor yang menyebabkan pembantu rumah asing melarikan diri?
(4 markah)

3. Pada pendapat anda, apakah kesan kemasukan pembantu rumah asing secara haram terhadap   
    masyarakat dan negara ?                                                                                         
 (4 markah)

Tuesday, March 4, 2014

Karangan Berpandu Menengah Rendah

Kepentingan Keperluan Asas dalam Kehidupan Seharian

Keperluan asas amat penting untuk kita meneruskan kehidupan seharian kita. Salah satu daripada keperluan asas ialah makanan. Keperluan asas yang lainnya ialah tempat kediaman, pakaian dan minuman. Adakah kita sanggup hidup hanya berbantalkan batu dan berbumbungkan langit? Tepuk dada, tanyalah minda.


          Perkara dominan dalam hal ini ialah tempat kediaman. Kita memerlukan tempat tinggal untuk meneruskan hidup. Contohnya, rumah. Kita memerlukan rumah untuk mengelakkan diri daripada diserang oleh haiwan-haiwan liar yang terbiar seperti anjing liar yang mencari makan di tempat-tempat pembuangan sampah. Dengan ini, rumah merupakan keperluan asas dalam hidup kita. 

Isi 2 - makanan dan minuman
 

Isi 3 - pakaian
 
     Konklusinya, kita semua di bumi ini memerlukan keperluan asas untuk meneruskan kehidupan. Semua pihak harus berganding bahu dalam menyediakan keperluan asas yang terbaik bagi semua hidupan di muka bumi ini. Oleh itu, negara kita akan aman dan damai tanpa sebarang kekurangan dalam kehidupan. 


Thursday, February 13, 2014

Syair Perang Saudara di Pahang (T2)

Syair Perang Saudara di Pahang
(Mohd Yusof M Nor & Dr. Abd. Rahman Kaer)
Maksud
Rangkap 1
Permulaan kisah perang iaitu kisah perang saudara di Pahang.

Rangkap 2
Pemangku sultan merupakan putera sulung yang memerintah negeri yang bernama Bendahara Tun Tahir.

Rangkap 3
Putera yang tengah ialah Encik Engku Ahmad. Terdapat lima orang lagi putera lelaki sultan yang mempunyai perilaku yang baik.

Rangkap 4
Encik Engku Ahmad keluar mengembara ke Singapura sambil menghiburkan hatinya yang lara.

Rangkap 5
Tidak lama belayar, Encik Engku Ahmad sampai di Kampung Gelam dan singgah di tempat tersebut.

Rangkap 6
Encik Engku Ahmad tinggal bersama Tengku Jaafar yang menjadi sahabat baginda. Baginda berdua tinggal di sana tanpa sebarang kawalan.

Rangkap 7
Encik Engku Ahmad diiringi teman-teman dan kawan-kawan untuk kembali ke negerinya.

Rangkap 8
Mereka mula belayar ke sebelah barat iaitu ke Kemaman.

Rangkap 9
Mereka sampai di Kemaman yang indah tempat Sultan Terengganu memerintah.

Rangkap 10
Mereka membuat perancangan untuk menyerang negeri Pahang.

Tema
Berkisarkan perancangan perang saudara yang bakal berlaku di Pahang.

Persoalan
1.    Persoalan peperangan tidak membawa sebarang keuntungan tetapi membawa kebinasaan.
2.    Persoalan hubungan dan kerjasama untuk menjalankan suatu tindakan.
3.    Persoalan golongan bangsawan yang mengamalkan hidup bebas tanpa kawalan.

Bentuk
1.    Syair ini mengandungi sepuluh rangkap.
2.    Setiap rangkap mengandungi empat baris.
3.    Jumlah perkataan ialah empat hingga enam perkataan sebaris, jumlah suku kata pula sembilan hingga sembilan dalam satu baris.
4.    Rima akhir sama – iaitu ’aa aa’.

Gaya Bahasa
Aliterasi
             hendak melanggar Pahang negara (pengulangan konsonan n)

Asonansi
             kata orang empunya wadah (pengulangan vokal a)

Kata ganda
             laki-laki (Rangkap 2, Baris 1)

Repetisi
             di kampung Gelam tempat berhentinya,
             di dalam kota tempat diamnya (Rangkap 5,  Baris 3 dan baris 4)


Bahasa Klasik
            Ini sekadar sahaya ringkaskan (Rangkap 1, Baris 3)


Nilai
1.    Nilai setiakawan
Tengku Jaafar yang menjadi sahabat Encik Engku Ahmad bersama-sama melakukan aktiviti dengan baginda.

2.    Nilai keberanian
Keberanian Encik Engku Ahmad membentuk pakatan untuk menyerang Pahang.

3.    Nilai kesetiaan
Setia mendengar perintah Sultan Terengganu berhenti di Kemaman untuk mengumpul pakatan menyerang Pahang.

Pengajaran
1.  Kita hendaklah mempunyai keperibadian yang tinggi agar kita disukai rakan dan teman.
2.  Kita hendaklah merantau untuk mencari pengalaman hidup.
3.  Kita hendaklah pandai membawa diri dan tidak menunjuk lagak semasa berada di perantauan.


Latihan
1.    Berikan  tiga gaya bahasa yang wujud dalam syair ini besertakan contohnya.
2.    Pada pendapat anda, apakah faedah yang diperoleh apabila kita mengembara?


Syair Mendapat Gemala Naga (T2)

Syair Mendapat Gemala Naga
(Anwar Ridhwan dan Rahman  Shaari)

Maksud
Rangkap 1
Dewa bercerita tentang mereka yang dikhianati oleh saudara mereka lalu dipenjarakan selama setahun.

Rangkap 2
Setelah habis dewa dua beradik bercerita, naga berasa kasihan mendengar cerita tersebut lalu memberikan batu geliga saktinya kepada mereka.

Rangkap 3Naga menerangkan kepada dewa dua beradik, batu geliga sakti ini sangat bernilai kerana mampu menunaikan sebarang hajat hati dan tujuan empunya diri.

Rangkap 4
Batu geliga sakti itu dapat merawat sebarang penyakit dan memberi ketenangan jiwa dengan Tuhan yang Esa.

Rangkap 5
Jika hendak berperang, batu geliga sakti boleh menyediakan tentera beserta dengan hulubalangnya.

Rangkap 6
Setelah mendengar kata-kata naga itu, dewa dua beradik berasa sangat gembira lalu memohon diri untuk beredar dari situ dan meneruskan perjalanan mereka.

Rangkap 7
Kedua-dua bersaudara itu menyusuri pantai tanpa mengira siang dan malam untuk menuju ke sebuah negeri bernama Inderanegara.

Rangkap 8
Apabila tiba pagi hari, dewa dua bersaudara akhirnya tiba ke hujung negeri dan bertemu rumah nenek kebayan.

Tema
Pengembaraan dua bersaudara untuk mendapatkan Gemala Naga (Batu Geliga Sakti Naga).


Persoalan
1.      Persoalan setia kawan iaitu dewa dua bersaudara saling membantu untuk menghadapi dugaan.
2.      Persoalan prihatin terhadap permasalahan orang lain seperti naga yang prihatin dengan permasalahan dewa dua bersaudara lalu menghadiahi mereka dengan gemala sakti.

Bentuk
1.    Syair ini mengandungi lapan rangkap, setiap rangkap mengandungi empat baris.
2.    Syair ini mengandungi antara tiga hingga lima patah perkataan  sebaris.
3.    Jumlah suku kata sembilan hingga tiga belas suku kata sebaris.
4.    Rima akhir semuanya  ’aa aa’.

Gaya Bahasa
Aliterasi
             Menuju jalan tanah yang rata. (Rangkap 6, baris 4)
       Pengulangan bunyi kosonan ’n’

Asosanasi
            Rumah kebayan orang yang bahari , (Rangkap 8, baris 4)
            Pengulangan bunyi vokal ‘a’
Inversi
            Setahun sudah di dalam penjara (Rangkap 1, baris 4)

Sinkope
            Dewa pun duduk ia bercerita (Rangkap 1, baris 1)
           

Nilai
1.    Nilai keberanian
Dewa berani mempersembahkan diri kepada naga yang pebuh sakti untuk mendapatkan gemala sakti.

2.    Nilai kesetiaan
Dewa bersaudara setia bersama mengharungi kesusahan dalam pengembaraan mereka. 

3.    Nilai kasih sayang
  Naga berasa simpati dan belas terhadap dewa bersaudara yang telah dikhianati oleh  
  saudara mereka.

Pengajaran
1.    Kita hendaklah membantu orang yang ditimpa kesusahan.
2.    Kita hendaklah menghormati orang yang lebih tua daripada kita.
3.    Kita hendaklah memohon kepada Allah agar kehidupan kita diberkati.

Latihan
1.        Siapakah yang dimaksudkan dalam baris ‘Setahun sudah di dalam penjara’.

2.        Pada pendapat anda, mengapakah dewa dua bersaudara beredar dari tempat naga dengan perasaan gembira sekali?


Wednesday, February 12, 2014

Pantun Agama (T2)

 Pantun Agama
(Mohd Yusof Md Nor & Dr. Abd. Rahman Kaer)

Maksud
Rangkap 1
Sekiranya kita tidak mengerjakan suruhan Tuhan di dunia, di akhirat nanti kita tidak akan mendapat ganjarannya.

Rangkap 2
Dunia bukanlah tempat yang kekal bagi semua makhluk, akhirat jualah tempat yang abadi.

Rangkap 3
Orang alim juga tidak lepas dari berbuat dosa, apatah lagi kita orang biasa. Sudah tentu banyak berbuat dosa.

Rangkap 4
Kita akan menyesal pada kemudian hari jika tidak mengerjakan ibadah sembahyang.

Rangkap 5
Pakaian tidak melambangkan darjah kealiman seseorang tetapi melalui amalannya.

Rangkap 6
Kita hendaklah sentiasa mengikuti ajaran atau perintah Allah bukanlah mengikut kehendak hati sendiri.

Tema
Amalan agama menjamin kehidupan di kemudian hari.

Persoalan

1.    Persoalan taat akan hukum agama akan menjamin kehidupan bahagia di akhirat nanti.
2.    Persoalan kejahilan manusia yang tidak tahu akan hukum-hakam agama.
3.    Persolana penampilan fizikal tidak melambangkan keperibadian dan tahap keimanan seseorang.

Bentuk
  1. Pantun ini terdiri daripada terdiri daripada enam rangkap.
  2. Setiap rangkap mengandungi empat baris.
  3. Jumlah baris terdiri antara tiga hingga empat patah perkataan.
  4. Contoh, tiga patah perkataan sebaris:
Kemuning daunnya lampai
  1. Contoh,  enam patah perkataan:
Di atas dunia kau tak sampai
  1. Rima akhirnya  ’ab ab’.
Gaya Bahasa
Aliterasi
      Teritip di tepi kota
Pengulangan bunyi konsonan  ’t’

Asonansi
Teringat badan tidak sembahyang
 Pengulangan bunyi vokal ’a’

Kata ganda
Dunia ini pinjam-pinjaman

Sinkope
Di atas dunia kau tak nampak


Nilai 
  1. Nilai keinsafan.
Terdapat pada rangkap kedua (Baris 3 dan 4)
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya.

  1. Nilai kesederhanaan.
Terdapat pada rangkap kelima (Baris 3 dan 4)
Serban bukan semuanya haji,
 Haji terletak pada amalan.

 Pengajaran

  1. Kita hendaklah tidak terlalu menurut kata hati.
  2. Kita hendaklah tidak menilai seseorang itu dari luaran sahaja.
  3. Kita hendaklah beringat bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara sahaja.
  4. Kita hendaklah mengerjakan solat supaya tidak menyesal pada kemudian hari.
  5. Kita hendaklah memelihara amalan hidup di dunia.
 Latihan
 

  1. Huraikan dua nilai yang wujud dalam Pantun Agama ini.

  1. Pada pendapat anda, mengapakah kita tidak boleh menilai seseorang itu daripada luaran sahaja.






Syair Nasihat : Penghujung Thamarat al-Muhimmah (T2)

Penghujung Thamarat al-Muhimmah
(Syair Nasihat)
(Abu Hassan Sham)


Maksud :

Rangkap 1
Nasihat  yang diberi oleh ayah perlu dituruti dan janganlah mengamalkan sikap malas.

Rangkap 2
Seseorang yang dilantik menjadi pemimpin mestilah memiliki hati yang mulia dan komited terhadap tugas yang diamanahkan.

Rangkap 3
Kerja kebajikan yang dilakukan perlulah ikhlas dan jangan mengharapkan kepada pembalasan.

Rangkap 4
Ilmu perlu rajin dituntut. Jangan pula kita menuntut ajaran sesat atau ajaran salah.

Rangkap 5
Ilmu perlu diutamakan terutamanya hukum-hukum syarak demi mengelakkan aib.

Rangkap 6
Tindakan perlu didasarkan kepada pengetahuan supaya membawa kepada kebaikan dan kebajikan untuk mengelakkan kejatuhan.

Rangkap 7
Ilmu yang baik akan menjurus kepada keadilan dan kebenaran. Hal ini akan dapat membezakan antara perkara yang benar dan yang salah.

Rangkap 8
Jika ilmu tidak dituntut atau diambil mudah akan menjerumuskan seseorang atau negara ke lembah kehancuran.

Tema
Nasihat kepada pemimpin agar memimpin negara dengan jujur dan ikhlas.

Persoalan 
1.      Persoalan kepentingan ilmu dalam menjalankan tampuk pemerintahan.
2.      Persoalan keperibadian yang tinggi yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin.
3.      Persoalan ajaran betul dan ajaran songsang yang telah diwartakan.
4.      Persoalan hukum syarak yang perlu diikuti untuk mengelakkan aib kepada diri.

Bentuk 
1.    Pantun ini terdiri daripada lapan rangkap.
2.    Setiap rangkap mengandungi empat baris.
3.    Jumlah perkataan empat hingga enam perkataan sebaris, jumlah suku kata pula sembilan hingga sebelas suku kata dalam satu baris
4.    Rima akhir adalah sama iaitu ’aa aa’.

Gaya Bahasa 
Aliterasi
            Dengarkan tuan ayahanda berperi. (Rangkap 1, baris 1)
Pengulangan konsonan ‘n’

Asonansi
            Had syarak  jangan dilalu. (Rangkap 5, baris 3)
            Pengulangan vokal ‘a’

Inversi
            Kerja kebajikan janganlah malas.(Rangkap 3, baris 1)

Bahasa Arab
            Had syarak jangan dilalu (Rangkap 5, baris 3)


Nilai 
1.    Nilai mendengar nasihat
Mendengar nasihat orang yang berpengalaman untuk kesejahteraan masa hadapan.

2.    Nilai kerajinan
Rajin menuntut ilmu dan menjalankan tugas yang diberikan.

3.    Nilai keadillan
      Seorang pemimpin perlulah adil dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

4.    Keikhlasan
      Kerja kebajikan perlu dilakukan dengan hati yang penuh ikhlas.
 
Pengajaran
1.    Kita hendaklah mendengar nasihat ayah, agar kehidupan kita diberkati.
2.    Kita hendaklah menjalankan siasatan sebelum menjatuhkan hukuman.
3.    Kita hendaklah sentiasa berbuat baik dan kebajikan, serta ikhlas dalam sebarang tindakan.
4.    Kita hendaklah menuntut ilmu agar dapat membezakan antara yang buruk dan yang baik.

Latihan : 
  1. Berikan maksud rangkap
Kerja kebajikan janganlah malas
Zahir dan batin janganlah culas
Jernihkan hati hendaklah ikhlas
Seperti air di dalam gelas

  1. Pada pendapat anda, apakah kepentingan kita menuntut ilmu?




Monday, February 10, 2014

Hikayat Upu Daeng Menambun - Prosa Tradisional Tingkatan 2 KOMSAS

‘HIKAYAT UPU DAENG MENAMBUN’
(DISELENGGARAKAN OLEH  ROGAYAH  A.HAMID)


Sinopsis
Mengisahkan salasilah keluarga raja-raja Kalimantan. Kisah bermula dengan Sang Raja Majapahit mempunyai anak bernama Brawijaya. Brawijaya apabila dewasa menjadi raja di negeri Sukudana. Daripada keturunannya lahirlah Raja Baporang yang telah melahirkan Pangeran Karang Tanjung. Pangeran Karang Tanjung pula mempunyai seorang anak bernama Panembahan Bendala. Panembahan Bendala beranakkan Panembahan Sukudana.  Cerita diakhiri dengan kisah Pangeran Agung yang mempunyai ramai anak iaitu Ratu Melayu,Utin Radi, Pangeran Marta, Raden Segara, Gusti Aris,Pangeran Surya dan Tiak Ra’i, ibu kepada Raden Ambong.

Tema
Cerita ini bertemakan salasilah keturunan Raja-raja Kalimantan

Persoalan
1.    Persoalan tentang kepentingan mengetahui asal-usul kekeluargaan.
2.    Persoalan perlunya mengenali jati diri sesebuah keluarga.

Watak & Perwatakan 
Watak Utama
Upu Daeng Menambun
Ø  Keturunan Sang Raja Majapahit
Ø  Raja Bugis
Ø  Berkahwin dengan anak Sultan Muhammad Zainuddin, Puteri Kesumba
Ø  Memiliki 10 orang anak, lima lelaki dan lima perempuan.

Ø  Ayahanda kepada:
o   Utin Damawan
o   Gusti Jamiral bergelar Panembahan Adi Jaya Kesuma
o   Gusti Jamadin bergelar di Sambas Pangeran Chakra
o   Utin Chandera Sari bergelar Ratu di Sempang
o   Gusti Jalazri bergelar Pangeran Mangku di Mampawah
o   Ratu Surya Kusuma
o   Gusti Jalma bergelar Gusti Panglima
o   Utin Chandramidi
o   Gusti Sina bergelar Pangeran Jaya Putera
o   Utin Tawang bergelar Utin Busu

Ø  Bapa mertua kepada raja Landak, Raja Bagus. (suami Utin Damawan)
Ø  Bapa mertua kepada Sultan Sharif Abdul Rahman (suami Utin Chandramidi)
Ø  Bermenantukan Pangeran Ghafura, sepupu sultan Berunai (suami Utin Tawang)

Watak Sampingan
Sang Raja Majapahit
Ø  Mengetuai salasilah keturunan Brawijaya hinggalah Pangeran Agung Martadipura
Ø  Merupakan pemula keturunan Raja-raja Kalmantan

Brawijaya
Ø  Keturunan pertama kepada Sang Raja Majapahit
Ø  Menjadi raja di Benua Lama, negeri Sukudana.
Ø  Beranakkan Raja Baporang
     
Raja Baporang
Ø  Beranakkan Pangeran Karang Tanjung

Pangeran Karang Tanjung
Ø  Beranakkan Panembahan Bendala

Panembahan Bendala
Ø  Beranakkan Panembahan Sukudana

Panembahan Sukudana
Ø  Beranakkan Panembahan Air Mala

Panembahan Air Mala
Ø  Beranakkan Panembahan di Baroh

Panembahan di Baroh
Ø  Beranakkan Panembahan Giri Kesuma

Panembahan Giri Kesukma
Ø  Beranakkan Sultan Muhammad Saifudin
Ø  Bersaudarakan Ratu Surya Kesuma

Latar
Latar Tempat

Ø        Negeri Pontianak
Tempat pemerintahan menantu Upu Daeng Menambun yang bernama Sultan Sharif Abdul Rahman, suami kepada Utin Chandaramidi.

Ø        Negeri Sambas
Tempat pemerintahan Sultan Muhammad Saiffuddin

Ø        Negeri Mempawah
Tempat asal isteri Sultan Muhammad Zainuddin yang bernama Emas Inderawati

Ø        Sukudana
Tempat Brawijaya menjadi raja dan meluaskan salasilah keturunan Sang Raja Majapahit.

   Latar Masyarakat
Ø    Masyarakat keturunan bangsawan
Salah silah keluarga Sang Raja Majapahit yang berketurunan bangsawan di Jawa dan Brunei.
Ø    Masyarakat yang mementingkan darah keturunan
Keturunan Sang Raja Majapahit mengekalkan darah keturunan melalui perkahwinan dengan golongan diraja.


        Gaya Bahasa 
1.    Bahasa Arab
Fatihah, Quran

2.    Kata ganda
laki-laki, mula-mula, pertama-tama

3.    Bahasa istana
dititahkan, baginda

Nilai  
1.    Nilai jati diri
Keturunan Sang Raja Majapahit yang mementingkan jati diri dengan memastikan salah silah keturunannya kekal melalui perkahwinan.

2.    Nilai pemeliharaan salasilah keluarga.

Pengajaran
1.      Kita hendaklah  berbangga dengan susur galur keluarga sendiri.

2.      Kita perlulah membina keturunan keluarga yang dirahmati Allah.

3.      Kita mestilah memelihara salasilah keluarga.

Latihan
1. Siapakah yang berada pada kedudukan tertinggi dalam salah silah keturunan Raja-raja Kalimantan?

2.    Pada pendapat anda, apakah kepentingan mengetahui dan mengenal pasti susur galur keluarga kita?

Jawapan:
1.    Sang Raja Majapahit ialah berada pada kedudukan tertinggi dalam salah silah keluarga Raja-raja Kalimantan.

2.    Pada pendapat saya, kepentingannya ialah:
a.    Kita dapat mengenal pasti keturunan keluarga kita
b.    Mengajar kita tentang asal-usul diri kita
c.    Mengeratkan lagi pertalian kekeluargaan
d.    Mengajar kita mengenal erti jati diri kita.