Tahap Kualiti Air Kian Terjejas
Disebabkan Oleh PenurunanTahap Integriti Masyarakat
Alam Tidak Seindah
Dulu
Anak-anak kita tiada tempat bermain
Di halaman tidak mampu memercup kegembiraan
Awan telah gelap dalam terik cahaya mentari
Hanya duduk seharian di rumah sempit
Ingin rasanya berlarian di bendang
Sejenak menangkap ikan pelage di kali
Ah, air berkeledak pekat!
Meskipun umpanku emas
Namun tiada yang melekat di kail
Duduk di rimbunan pokok
Tidak tertahan rasaya diri
Menghirup udara yang dulunya segar
Kini diganti haruman menyengat
Meloyakan dan menghakis salur nafasku
Oleh sungai yang meronta derita
Berharap agar dikasihi
Wahai anakku, alam kita tidak seindah dulu
Dosa manusia akhirnya kita menelan lagu pahit
Sajak di atas izhar menggambarkan keadaan sarwajagat kita
sekarang di mana segala-galanya bagaikan tidak selamat lagi. Untuk bermain di
halaman, udara begitu kotor. Akhirnya duduk seharian di rumah yang sempit. Jika
dulu, anak desa boleh mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti seperti
menangkap ikan, atau duduk di bawah rimbunan pokok. Tetapi air parit yang
berkeladak menyebabkan hidupan akuatik mati. Udara yang dahulunya segar kini
dicemari dengan bau yang kurang menyenangkan akibat sungai yang telah tercemar.
Persoalannya, siapakah yang harus dipersalahkan di atas musibah yang melanda
ini? Apakah kita sebagai manusia telah menjalankan tanggungjawab yang sebenar
sebagai khalifah di muka bumi ini?
Marcapada, isu pencemaran air dilihat semakin
menjadi-jadi sehingga mencetuskan polemik dalam kalangan media massa saban hari
ini yang pantas meniti dari bibir ke bibir. Bukan itu sahaja, isu ini juga
mencetuskan perdebatan orang ramai malah menjadi topik hangat dalam parlimen.
Bak kata pepatah, kuman di seberang lautan nampak, gajah di pelupuk mata tidak
nampak. Begitulah kita sebagai manusia. Adakalanya masalah yang timbul
menyebabkan kita terlalu ego dan sentiasa menuding jari dan berbalah sesama sendiri
terhadap perkara yang terjadi. Hakikatnya, tidak perlu dipertikaikan lagi
bahawa manusia sentiasa mendapat balasan di atas perbuatannya sendiri. Secara
implisitnya, penurunan tahap integriti masyarakatlah yang menjadi penyebab
utama terjejasnya terhadap kualiti air di negara kita.
Kerosakan alam yang berlaku pada hari ini adalah kerana
sikap manusia yang tidak prihatin terhadap alam. Di dalam Al-Quran sendiri ada
menyebut bahawa kemusnahan yang berlaku di atas muka bumi ini dilakukan oleh
tangan manusia sendiri. Sebagaimana firman Allah S.W.T di dalam Surah Ar-Ruum
ayat 41 yang bermaksud “Telah berlaku pelbagai kerosakan dan bala bencana di
darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia…….”
Kerosakan di darat dapat dijustifikasikan sebagai pencemaran yang berlaku di
darat seperti pencemaran udara, pencemaran tanah, pencemaran hutan dan
sebagainya. Manakala pencemaran di laut pula tidak lain tidak bukan merupakan
pencemaran air.
Secara umumnya, pencemaran air ini berlaku apabila
terdapat perubahan dari segi kandungan,
keadaan, warna dan kualiti air sehingga tidak sesuai dan memberi kesan
kepada manusia apabila digunakan. Pencemaran berlaku sama ada dari segi
biologi, kimia, dan fizik. Pencemaran air bukan hanya berlaku di sungai sahaja,
tetapi juga di laut, pantai dan lain-lain secara implisit mahupun eksplisit.
Punca utama yang menyebabkan pencemaran ini lebih kepada bahan pencemar dari
kilang-kilang yang berdekatan dengan sumber air itu sendiri. Persoalannya,
siapakah yang mengendalikan kilang-kilang? Manusia atau haiwan? Dan siapa pula
yang membuang sampah-sarap ke dalam sungai? Manusia atau tumbuhan? Tepuk dada,
buka hati, tanyalah diri.
Manusia lupa akan tanggungjawab yang telah diamanahkan
oleh Allah S.W.T ke atas mereka supaya memelihara alam. Manusia diamanahkan
untuk mentadbir alam ini dengan sebaik-baiknya. Perbuatan tidak berpegang
kepada amanah dan hilangnya nilai integriti dalam kalangan masyarakat
menyebabkan berlakunya kerosakan dan kemusnahan. Sebagai contoh yang dapat
dijadikan pengajaran kepada kita ialah melalui kisah umat Nabi Nuh a.s yang telah
dibinasakan oleh Allah S.W.T dengan bencana besar yang menenggelamkan negeri
mereka kerana keingkaran mereka sendiri.
Kerasukan manusia dalam mengejar arus permodenan dan
pembangunan serta sikap materialistik dan egoistik yang akhirnya melenyapkan
nilai integriti, semua itu hanyalah sandiwara yang tidak lain hanya membawa
kesan destruktif kepada diri sendiri. Malahan kita sebagai manusia yang terlalu
mudah lalai dengan kewajipan, leka dengan kesenangan dan tamak dengan kekayaan,
sehingga habis kuman disembelih kerana hendak memberi makan gajah, dan akhirnya
kita sendiri yang duduk dalam duri yang melata, bersandarkan batang rengas.
Natijahnya, sebagai manusia, kita sering menjadikan
perumpamaan nasi sudah menjadi bubur dalam kehidupan seharian hinggalah kita
tidak mahu bersyukur akan bubur yang diperoleh. Kita dikurniakan oleh Allah
S.W.T air yang tidak ternilai anugerahnya, tetapi kita terlalu jahil sehingga
merosakkan anugerah Allah S.W.T. Malang sekali kita juga terlalu keras hati
untuk memperbaiki situasi itu dan bertambah jahil apabila terus-menerus
merosakkannya ibarat bubur yang tadinya elok menjadi hangit dan langsung tidak
berguna, dan kita pula yang menagih kelaparan.
Islam tidak melarang manusia menggunakan apa-apa yang
zahir di atas muka bumi, yang tersembunyi di celahan perut bumi mahupun yang
terapung di angkasa. Semua ini dijadikan oleh Allah s.w.t untuk manusia. Namun
begitu, kita sebagai manusia dilarang melakukan pembaziran dan rakus mengejar
kemajuan dengan mengorbankan keindahan dan kehijauan alam. Sikap rakus dan
tidak amanah dalam menguruskan alam inilah punca utama berlakunya kerosakan dan
bencana kepada alam.
Sesungguhnya Allah S.W.T telah melarang kita melakukan
kerosakan terhadap alam. Hal ini ada dijelaskan melalui firman-Nya di dalam
Surah Al-A’raf ayat 85 yang bermaksud “Dan janganlah kamu memberikan kerosakan
di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan
sebaik-baiknya. Yang demikin itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu
benar-benar orang yang beriman.” Ayat di atas menerangkan kepada kita betapa
pentingnya menjaga alam ini. Perbuatan merosakkan alam bukan sahaja akan
merugikan kita, malah ditegah sama sekali oleh Allah S.W.T.
Namun, manusia masih lagi alpa. Mereka terlalu tamak
seperti sesetengah pengusaha kilang yang tidak bertanggungjawab yang ingin
mencari jalan senang dengan memperoleh keuntungan yang semaksima mungkin dengan
meminimakan kos pembuangan sisa toksik dari kilang mereka dengan mencemarkan
sungai, laut, tasik dan sebagainya. Alasan yang diberikan cukup mudah iaitu pembiayaan
kilang mereka tidak cukup bagi menampung kos penyelenggaraan sistem penapis
kumbahan yang amat tinggi dan merugikan.
Ibarat sedikit hujan banyak yang basah, sikap tamak para
pengusaha akhirnya menyebabkan pencemaran kimiawi terhadap sumber air.
Pencemaran kimiawi lazimnya disebabkan oleh zat organik termasuk protein,
karbohidrat dan lemak serta bahan buangan industri yang mengandungi garam
beracun serta tumpahan minyak di laut. Selain itu, ia juga berpunca daripada
persenyawaan organoklor pada insektisida, fungisida dan herbisida yang mampu
memberi impak yang cukup berbahaya kepada manusia.
Adakah masyarakat kita pada hari ini mengamalkan
nilai-nilai integriti dalam kehidupan seharian mereka? Mungkin ya, mungkin
tidak. Hakikatnya, kejujuran dalam melakukan pekerjaan, keikhlasan dalam
berbakti, keharmonian dalam kerjasama, dan kesepaduan dalam kehidupan semakin
terhakis retoriknya sedikit demi sedikit dalam kalangan masyarakat kita pada
hari ini. Maka tidak hairanlahberlaku pelbagai masalah khususnya pencemaran
yang berpunca dari kepincangan dalam masyarakat kerana bak kata pepatah, kapak
tidak boleh membelah kayu, kalau bukan kayu juga yang menjadi hulunya.
Menurut hadis riwayat Al-Baihaqi, sumber Ummu Al-Mukminin
Aisyah r.a memberitakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “ Sesungguhnya Allah
menyukai seseorang daripada kamu apabila dia melakukan sesuatu amalan
(pekerjaan) bahawa dia membuatnya dengan rapi (tersusun),”. Sesungguhnya Allah
S.W.T menyukai hamba-Nya yang berbuat dan beramal soleh dengan bagus, iaitu
ikhlas dan betul menurut sunnah Rasulullah s.a.w. Di dalam konteks isu yang
dihadapi, setiap insan haruslah sistematik dalam mengurus air dengan lebih
teliti dan teratur.
Bukanlah sesuatu yang pelik jika masalah air yang pernah
dihadapi oleh beribu-ribu penduduk di sekitar Lembah Klang beberapa tahun lalu
merebak pula ke negeri-negeri lain pada masa hadapan, lalu menimbulkan krisis
air negara yang lebih meruncing. Ketiadaan air yang mengazabkan kehidupan
penduduk di 350 kawasan perumahan sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan itu
sepatutnya menjadi amaran kepada kita agar beringat sebelum kena kerana sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi. Usahlah kita menuding
jari mencari si kambing hitam, kerana kita juga menyumbang kepada masalah yang
dihadapi.
Pernah, malah kerap juga berlaku, bekalan air di beberapa kawasan terpaksa dihentikan
secara tiba-tiba kerana air yang dibekalkan telah tercemar dan tidak selamat
digunakan. Kejadian ini pernah berlaku di Lembah Klang pada tahun 2003. Pada
masa itu, beribu-ribu penduduk di situ terpaksa melalui kehidupan tanpa air
apabila sebuah loji memproses air terpaksa ditutup kerana Sungai Langat yang
menjadi sumber bekalan air yang utama telah dicemari oleh bahan kimia daripada
kilang-kilang yang beroperasi di sekitarnya.
Apabila menyebut pencemaran air, bukan Sungai Langat
sahaja yang terlibat, malah ada sekian banyak sungai di seluruh negara yang
semakin hari semakin tercemar. Hal ini sudah menjadi suatu fenomena biasa
kerana pada waktu kita terlalu ghairah untuk melaksanakan projek pembangunan,
kita semakin lalai dan kurang prihatin terhadap sungai yang menjadi sumber
utama sejak sekian lama.
Pada masa yang sama, kita tidak henti-henti menebang
hutan dan meratakan bukit, semuanya atas nama pembangunan, sehingga menyebabkan
berlakunya hakisan tanah secara bersar-besaran dan memberikan kesan buruk
terhadap kadar kelembapan bumi kita. Apabila kawasan hutan dan bukit-bukau
diratakan untuk memberikan laluan kepada pembinaan rumah atau pangsapuri mewah,
satu demi satu bekalan air telah dimusnahkan. Kerakusan manusia telah
mengakibatkan banyak kawasan tadahan hujan menjadi gersang.
Sesetengah penduduk di kawasan petempatan adakalanya
menghadapi masalah bagi membuang sampah-sarap akibat kelalaian pemaju di
kawasan tesebut. Akibatnya, penduduk sendiri buntu dan akhirnya bertindak
membuang sampah-sarap di kawasan berhampiran sungai mahupun tasik. Mereka
beranggapan bahawa dengan melakukan sedemikian, maka masalah dan beban yang
mereka hadapi akan hilang. Ya, mungkin
masalah akan selesai namun, ia tidak berhenti di situ kerana masalah yang sama
menanti mereka bak kata pepatah, bagai tembilang bagai penggali, bagai yang
hilang begitulah penggantinya.
Ibarat ikan boleh diubah, tebuk bagaimana mengubahnya,
begitulah sikap dan tabiat manusia yang sukar diubah. Sebagai contoh, sikap
sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak beretika dalam
mneggunakan kemudahan tandas awam, mereka dengan mudahnya membuang sampah-sarap
ke dalam tandas tanpa memikirkan akibat dan komplikasi yang bakal menimpa diri
mereka dan masyarakat. Ikut hati mati, ikut mata lata. Secara paradoksal, mengapakah
mentaliti masyarakat kita pada hari ini masih berada di kelas tiga walaupun negara
semakin menongkah arus pemodenan?
Perbuatan membuang sampah-sarap secara langsung yang
dilakukan akan menyebabkan pencemaran fisikal, fisiologi dan biologi terhadap
sumber air. Pencemaran fisikal ditentukan oleh perubahan warna, suhu dan
keseluruhan sumber air tersebut. Punca yang biasanya menyebabkan pencemaran
jenis ini ialah seperti pembuangan sampah dan daun-daun yang merupakan medium
yang terapung di atas air. Manakala penemaran fisiologi dapat dikenalpasti
daripada bau dan rasa yang tidak menyenangkan pada sumber air. Pencemaran jenis
ini disebabkan oleh persenyawaan amina, fluol dan merkaptan. Pencemaran biologi
pula disebabkan oleh mikroorganisma dalam sumber air tesebut seperti bakteria
patogen, virus, protozoa, parasit dan zat toksin. Sanggupkah kita menggunakan
air yang tercemar dan dikotori dek kerencaman bahan yang meloyakan dan
menjijikkan? Sudah tentu tidak.
Sesungguhnya, semunya berpunca daripada manusia. Walaupun
pelbagai perancangan diutarakan, ia tidak akan bermakna jika orang ramai masih
bersikap degil kerana bagi sesetengah pihak, selagi nyawa diri dan keluarga
tidak tergugat tidak mengapa. Bak kata pepatah ikhtiar menjalani, untung
menyudahi. Bagi menyedarkan orang ramai, pendedahan tentang alam sekitar perlu
dilakukan sejak di bangku sekolah lagi. Jabatan Alam Sekitar pula, dengan
kerjasam media massa perlu berterusan mengadakan kempen bagi mewara-warakan
maklumat tentang alam ciptaan Tuhan yang indah ini agar wujud rasa keinsafan
dalam kalangan kita akan pentingnya penjagaan alam sekitar. Peraduan menulis
cerpen, sajak, esei, dan sebagainya yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar
merupakan suatu prakarsa yang pragmatik yang wajar diteruskan dalam usaha
menyemai sikap kasih dan sayang terhadap alam sekitar.
Alam yang indah adalah anugerah Tuhan untuk dinikmati
oleh setiap hambanya-Nya. Tetapi manusia sering alpa dalam kesibukan memenuhi
tuntutan kerjaya dan duniawi yang hanya bersifat sementara. Menurut hadis
riwayat Al- Bukhari, dari sumber Abu Musa Al-Asy’ari r.a memberitakan
Rasulullah s.a.w bersabda, “ Kerjasama antara seorang mukmin dengan mukmin
(yang lain) adalah seperti satu binaan, sebahagiannya menguatkan sebahagian
yang lain”.
Oleh yang demikian, jika inginkan alam sekitar tidak
berterusan tercemar, kerjasama semua pihak dari pemerintah hinggalah rakyat
jelata perlu dipupuk umpama sakit sama yang mengaduh, luka sama menyiup bagi
membentuk suatu anjakan paradigma yang menjamin kelangsungan hidup
bermasyarakat yang bebas dari pencemaran. Kita tidak seharusnya bersikap tutup
sebelah mata, sebaliknya buka mata, buka minda, buka hati, kenali diri. Adakah
ini sesuatu yang mustahil? Sebenarnya tiada apa yang mustahil, kerana hendak
seribu daya, tak hendak seribu dalih.
(1837
patah perkataan
No comments:
Post a Comment