Wira
Persona Avatari
(Ahmad
Zaki Abu Bakar)
Sinopsis
Pasukan Zamrud II yang diketuai oleh Anas, dan dianggotai
oleh adiknya Aina serta empat rakannya, iaitu Pauline, Anjali, Adeen, dan
Zuriani menyertai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh yang berlangsung
di Kompleks Anggun. Tujuan mereka menyertai pertandingan ini adalah untuk
mengulangi kejayaan Pasukan Zamrud yang diketuai oleh ayah Anas, Profesor Fitri yang telah menjadi juara pertandingan Avatari
sepuluh tahun dahulu. Sebelum pertandingan, mereka telah menjalani beberapa
sesi latihan yang keras seperti latihan silat, latihan kecergasan, dan latihan
menempuh halangan yang dijalankan oleh Cikgu Nisah.
Pertandingan Avatari ini ialah pertandingan kembara di
ruang siber atau adventure game bagi
makhluk janaan komputer yang dipanggil avatar. Pertandingan yang menggunakan
rangkaian Internet ini dijalankan serentak di seluruh dunia. Terdapat empat peringkat
yang perlu dilalui oleh setiap pasukan untuk menjuarai pertandingan yang
menawarkan hadiah sebanyak satu juta Ringgit Malaysia ini. Untuk peringkat
pertama, seratus pasukan terbaik akan layak ke peringkat kedua. Pada pusingan
kedua pula, hanya dua puluh pasukan terbaik yang akan dipilih. Selepas disaring
dalam pusingan ketiga, hanya lima pasukan terbaik yang akan meneruskan cabaran
ke pusingan yang keempat, iaitu pusingan terakhir.
Pasukan Zamrud II telah berusaha dengan gigih dan
berjuang bermati-matian untuk melepasi halangan dan cabaran yang terdapat dalam
setiap pusingan. Di samping itu, mereka juga terpaksa menghadapi ancaman dari dalam pasukan sendiri kerana
salah seorang ahli pasukan mereka, iaitu Anjali telah mensabotaj pasukan dengan
mencuri cip pemecut mesin Avatari. Masalah menjadi rumit apabila Aina cedera
parah akibat ditembak oleh penjahat ketika pasukan mereka bersiap sedia untuk
ke pusingan akhir. Namun begitu, semua halangan dan masalah dapat diatasi oleh
Pasukan Zamrud II, dan akhirnya pasukan mereka telah menjuarai pertandingan tersebut.
Tema
Kesungguhan dan semangat perjuangan yang tinggi untuk mencapai matlamat. Pasukan Zamrud II
yang terdiri daripada Anas, Aina, Adeen, Pauline, Anjali, dan Zuriani berlatih
bersungguh-sungguh sebagai persediaan menghadapi pertandingan Avatari
Kebangsaan Kali Kesepuluh. Semasa pertandingan mereka berjuang bermati-matian
sehingga mereka berjaya menjuarai pertandingan tersebut.
Persoalan
1.
Persoalan persiapan untuk menghadapi sesuatu pertandingan
Anas dan ahli-ahli kumpulannya berlatih
bersungguh-sungguh untuk menyertai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh
yang berlangsung di Kompleks Anggun.
2.
Persoalan kesabaran dalam menghadapi cabaran hidup
Keluarga Anas masih sabar dan dapat meneruskan kehidupan
seperti biasa walaupun ayahnya, Profesor Fitri masih hilang semasa mengikuti ekspedisi rahsia di Lautan Andaman.
3.
Persoalan hubungan kekeluargaan yang erat
Anas amat mengambil berat akan adiknya, Aina.
4.
Persoalan sokongan moral ibu bapa untuk memastikan kejayaan
anak
Puan Maizan, Pak Cik Ho dan Mak Cik Angie sentiasa berada
di tempat pertandingan Avatari untuk memberikan sokongan moral kepada anak-anak
mereka.
5.
Persoalan golongan remaja yang suka menghabiskan masa
dengan permainan video
Anjali dan Sudin bermain permainan Robot War di Pusat
Permainan Video Game Star yang penuh sesak dengan pengunjung yang terdiri
daripada golongan remaja.
6.
Persoalan hubungan erat antara kaum
Ahli-ahli Pasukan Zamrud II yang terdiri daripada Anas,
Aina, Pauline, Anjali, Adeen, dan Zuriani dapat bekerjasama tanpa mengira
perbezaan kaum.
7.
Persoalan perjuangan mempertahankan maruah agama
Anas dan ahli-ahli Pasukan Zamrud II menentang Pasukan
Zion dari Rusia yang mahu membunuh Nabi Muhammad secara maya dalam pertandingan
Avatari.
Watak dan Perwatakan
Watak Utama
Anas
Ø Anak sulung
kepada Profesor Muhammad Fitri Izzati dan Mazian
Ø Berumur
17 tahun
Ø Ketua
Pasukan Zamrud II dalam pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh
Ø Penyayang
– amat menyayangi adiknya, Aina
Ø Berani –
sanggup membahayakan diri untuk menghalang pasukan lawan daripada memenangi
pertandingan
Ø Bijak –
bijak mengatur strategi sehingga dapat menjuarai pertandingan Avatari Kebangsaan Kali
Kesepuluh
Watak Sampingan
Aina
Ø Adik
kepada Anas
Ø Bertubuh
kecil
Ø Berumur
12 tahun
Ø Salah
seorang ahli Pasukan Zamrud II
Ø Pintar -
– digelar rakan sedarjah “si cili padi”
Ø Rajin
beribadat – berpuasa sunat bulan Rejab
Ø Gigih – berusaha
bersama abangnya untuk menubuhkan Pasukan Zamrud II
Ø Keras
hati – tetap menyertai pertandingan Avatari walaupun dilarang oleh ibunya
Zuriani
Ø Gadis
kacukan Melayu-Inggeris
Ø Sahabat
karib Aina
Ø Berumur
12 tahun
Ø Peserta
simpanan Pasukan Zamrud II
Ø Rendah
diri – kurang keyakinan terhadap kemampuan diri ketika diminta menggantikan
tempat Aina di peringkat akhir pertandingan
Ø Amanah –
tidak memberitahu sesiapa tentang peristiwa kehilangan cip papan litar avatari
setelah dipesan oleh PakCik Tan
Kumar
Ø Anak
bongsu Pak Cik Kuppusamy, jutawan barang kemas
Ø Panas
baran – lekas marah kerana Adeen lewat tiba di Pusat Permainan Video Games Star
Ø Angkuh –
tidak mahu menyertai Pasukan Zamrud II
kerana tidak yakin akan keupayaan komputer Avatari Pak Cik Ho
Ø Menginsafi
kesilapan diri – berasa menyesal kerana telah memperkecil keupayaan Pasukan Zamrud II
Adeen
Ø Anak
Profesor Zakri
Ø Berumur
18 tahun
Ø Pengendali
komputer Avatari
Ø Pelajar
jurusan kejuruteraan komputer di kolej khas, di Koridor raya Multimedia
Ø Sangat
pintar – mempunyai I.Q yang tinggi/ penggodam komputer yang cekap
Ø Sabar –
tidak bertindak terburu-buru dengan tindakan biadap Kumar
Pauline
Ø Anak
tunggal Pak Cik Ho
Ø Berumur
17 tahun
Ø Salah
seorang ahli Pasukan Zamrud II
Ø Menaruh
hati terhadap Anas
Ø Manja
dengan ayahnya, Pak Cik Ho
Ø Berani –
sanggup menegakkan pendiriannya semasa bertengkar dengan Kumar
Anjali
Ø Adik
kepada Muthu, iaitu seorang ketua kongsi gelap
Ø Anak
yatim - tinggal dengan abangnya setelah ibunya meninggal dunia dan bapanya
meninggalkan mereka
Ø Kasar –
dipengaruhi oleh didikan abangnya
Ø Pembelot
– sanggup mengkhianati Pasukan Zamrud II setelah diarahkan berbuat demikian
oleh abangnya
Ø Pandai
bermain permainan video – mengalahkan Sudin dalam permainan Robot War
Binaan Plot
Tidak mengikut kronologi – Bab pertama (Poster Misteri)
didahului dengan puncak (klimaks) cerita.
Permulaan
Aina mengajak abangnya, Anas untuk mengambil bahagian
dalam Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh yang berlangsung di
Kompleks Anggun. Mereka menubuhkan Pasukan Zamrud II yang diketuai oleh Anas,
dan dianggotai oleh adiknya Aina serta empat rakan mereka, iaitu Pauline,
Anjali, Adeen, dan Zuriani.
Perkembangan
Pasukan Zamrud II menjalani latihan sebagai persediaan
untuk pertandingan. Berkat kegigihan dan kerjasama berpasukan, mereka berjaya
melepasi halangan dan cabaran dalam pusingan pertama, pusingan kedua, dan
pusingan ketiga. Anjali telah mensabotaj Pasukan Zamrud II dengan mencuri cip
pemecut mesin Avatari.
Puncak
Semasa Pasukan Zamrud II bersedia ke peringkat keempat,
iaitu pusingan akhir pertandingan, Aina cedera ditembak di bahu oleh penjahat
yang cuba mencuri baju-baju khas pertandingan Avatari di bilik persalinan. Aina
dibawa ke hospital dan tempatnya digantikan oleh Zuriani.
Peleraian
Pasukan Zamrud II menjuarai menyertai Pertandingan
Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh dan memenangi hadiah sebanyak hadiah sebanyak
satu juta Ringgit Malaysia. Aina yang masih dirawat di hospital mendapat berita
gembira bahawa ayahnya, iaitu Profesor Muhammad Fitri dan kumpulan penyelidik
yang hilang di Lautan Andaman telah dijumpai.
Teknik Plot
1.
Dialog
Contoh: “Kenapa Abang Adeen lambat?”
tanya Aina lagi.
“Maaf, terlepas komuter tadi,”
jawab Adeen.
2.
Suspens
Contoh: Pak Cik Tan bersembunyi di
dalam bilik persalinan untuk mengetahui orang yang mencuri cip pemecut mesin
Avatari.
3.
Kejutan
Contoh: Adeen ternampak dua orang
lelaki yang mencurigakan di bilik persalinan.
4.
Imbas kembali
Contoh: Anas teringat akan kata-kata
ayahnya yang mahu Anas dan Aina menjadi juara pertandingan Avatari seperti yang
pernah dicapai oleh ayahnya dan Pasukan Zamrud sepuluh tahun lalu.
5.
Monolog
Contoh: “Tak sangka Aina pandai
tulis sajak, walaupun perlu diperbaiki lagi,” kata Anas sendirian.
Gaya Bahasa
Ø Diksi
·
Istilah Komputer
Contoh: browser,
CPU, kayu ria, kamar bicara, papan litar
·
Slanga
Contoh: amoi cantik, hei tambi
Ø Peribahasa
Contoh: nasi sudah menjadi bubur;
kalau tidak ada rotan, akar pun
berguna juga
hendak seribu daya, tak hendak
seribu dalih
macam enau dalam belukar, melepaskan pucuk
masing-masing
Ø Pembinaan
Ayat
·
Bahasa mudah dan menarik
·
Ada ayat pendek
Contoh: Samy
semakin nekad
·
Ada ayat panjang
Contoh: Pengalamannya
sebagai banduan cukup mengajarnya supaya menghargai kebebasan
Ø Personifikasi
Contoh: Petang semakin tua
Ø Simile
Contoh: …seperti semut merah menghurung lipas mati
…seperti
halilintar membelah bumi
Ø Hiperbola
Contoh: …mata yang
tajam
...berjalan di atas kepulan awan
Latar
Latar Masa
Ø Zaman sekarang
– golongan remaja bermain permainan komputer dan menggunakan Internet
Ø Zaman
prasejarah – setiap pasukan dikehendaki ke zaman prasejarah secara maya dalam
peringkat pertama pertandingan Avatari
Ø Zaman
Mesir kuno – pasukan yang layak ke peringkat kedua pertandingan Avatari
mengembara secara maya ke zaman Mesir kuno untuk mencari pelbagai objek harta
karun berdasarkan petunjuk yang akan diperoleh daripada teka silang kata yang
diselesaikan oleh peserta.
Ø Zaman
Kesultanan Melayu Melaka – Pasukan Zamrud II memilih untuk ke zaman Kesultanan
Melayu Melaka secara maya untuk menghalang Portugis daripada menawan Melaka.
Latar Tempat
Ø Kompleks
Beli-belah Anggun – tempat pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh
dilangsungkan
Ø Rumah Profesor
Fitri – tempat tinggal Anas dan Aina
Ø Pusat
Permainan Game Star – Anjali dan Sudin bertanding dalam permainan Robot War
Ø Pangsapuri
Pak Cik Ho – Anas dan Aina berkunjung ke pangsapuri Pak Cik Ho untuk berbincang
tentang penubuhan Pasukan Zamrud II.
Ø Kawasan
bukit di Batu Layar – tempat Cikgu Pasukan Zamrud II menjalani latihan kembara
Latar Masyarakat
Ø Masyarakat
bandar yang celik komputer
Contoh: Anas dan Aina melayari
Internet untuk mencari maklumat tentang pertandingan Avatari
Ø Masyarakat
remaja yang meminati permainan komputer
Contoh: Pusat Permainan Video Game
Star sentiasa sesak dengan pengunjung yang terdiri daripada golongan remaja.
Ø Masyarakat
elit
Contoh: Anas, Aina, Pauline, Adeen, dan Kumar datang
daripada keluarga elit kerana ayah mereka merupakan jutawan, ahli perniagaan,
dan profesor.
Ø Masyarakat
bandar yang miskin
Contoh: Anjali ialah anak yatim yang
dibesarkan dalam keadaan yang amat daif lagi mencabar.
Ø Masyarakat
yang gemar melakukan jenayah
Contoh: Abang
Anjali, iaitu Muthu merupakan ketua samseng yang diarahkan untuk menimbulkan
huru-hara di Pusat Permainan Video Game Star.
Nilai
- Nilai bertanggungjawab
Contoh: Anas berasa
bertanggungjawab mengambil alih peranan sebagai orang lelaki di rumah selepas
ayahnya hilang semasa menjalankan ekspedisi misteri di Laut Andaman.
- Nilai kasih sayang
Contoh: Anas
sangat menyayangi adiknya, Aina.
- Nilai keberanian
Contoh: Anas membahayakan dirinya dalam usaha untuk
memastikan kejayaan Pasukan Zamrud II dalam pertandingan Avatari.
- Nilai kesabaran
Contoh: Adeen sabar
dengan karenah Kumar yang angkuh.
- Nilai keinsafan
Contoh: Kumar menyesal kerana telah memperkecil keupayaan Pasukan Zamrud II.
6.
Nilai kegigihan
Contoh: Pasukan Zamrud II yang diketuai oleh Anas gigih
berlatih sehingga menjuarai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh.
Pengajaran
- Kita hendaklah berani berjuang untuk mencapai
matlamat
Contoh: Anas
membahayakan dirinya untuk memastikan Pasukan Zamrud II menjuarai Pertandingan
Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh.
- Kita perlulah mengetepikan kepentingan diri
sekiranya ingin mencapai kejayaan dalam pasukan
Contoh: Cikgu
Nisah menasihati Pauline supaya mengubah sikapnya yang cemburu terhadap Anjali.
- Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai
matlamat
Contoh: Ahli kumpulan Pasukan Zamrud II gigih berlatih
sehingga menjuarai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh.
4.
Kita haruslah sanggup berjuang untuk mempertahankan agama
Contoh: Anas sanggup menentang
Pasukan Zion dari Rusia yang mahu membunuh Nabi Muhammad semasa peringkat akhir
pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh dengan dibantu oleh ahli
Pasukan.
5.
Kita tidak harus mengkhianati kepercayaan orang terhadap
kita
Contoh: Anjali mensabotaj Pasukan
Zamrud II sehingga pasukan itu hampir-hampir tewas dalam pertandingan Avatari.
6.
Kita mesti bekerjasama dan mengamalkan semangat
berpasukan untuk menjamin kejayaan sesuatu pasukan dalam pertandingan
Contoh: Semua ahli Pasukan Zamrud II
mempunyai semangat berpasukan yang tinggi sehingga berjaya menjuarai Pertandingan
Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh.
Latihan :
- Jelaskan tema yang terdapat di dalam novel Wira
Persona Avatari.
- Terangkan dua latar tempat dan dua latar masa yang terdapat di dalam novel yang anda kaji.
Jawapan
- Tema yang
terdapat di dalam novel Wira Persona Avatati ialah kesungguhan dan semangat
perjuangan yang tinggi untuk
mencapai matlamat. Pasukan Zamrud II yang terdiri daripada Anas, Aina,
Adeen, Pauline, Anjali, dan Zuriani berlatih bersungguh-sungguh sebagai
persediaan menghadapi pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh.
Semasa pertandingan mereka berjuang bermati-matian sehingga mereka berjaya
menjuarai pertandingan tersebut.
- Latar tempat
yang terdapat dalam novel yang dikaji
Ø Kompleks
Beli-belah Anggun iaitu tempat berlangsungnya pertandingan Avatari Kebangsaan
Kali Kesepuluh.
Ø Pangsapuri
Pak Cik Ho iaitu Anas dan Aina berkunjung ke pangsapuri Pak Cik Ho untuk
berbincang tentang penubuhan Pasukan Zamrud II.
Latar masa yang terdapat dalam novel
yang dikaji
Ø Zaman
prasejarah iaitu setiap pasukan dikehendaki ke zaman prasejarah secara maya
dalam peringkat pertama pertandingan Avatari.
Ø Zaman
Kesultanan Melayu Melaka iaitu Pasukan Zamrud II memilih untuk ke zaman
Kesultanan Melayu Melaka secara maya untuk menghalang Portugis daripada menawan
Melaka.
ok jumpa... :)
ReplyDeletePn Norhayati komsas ini akan keluar dalam peperiksaan ke ?
ReplyDeleteLi Yin, antara yang di atas akan keluar.
ReplyDeleteBanyaknya
ReplyDeletebukan semuanya, tapi kalau baca semuapun tiada masalah kan?
DeleteTerima kasih cikgu... Doakan kami semua agar Allah memudahkan kami dalam menjawab periksa...
ReplyDeleteya Qis, doa ckg sentiasa bersama-sama anda semua. semoga dapat buat yang terbaik esok.
DeleteCikgu nak rujukan KOMSAS kasut kelopak jantung, gema sepi dan harga sebuah lukisan...
ReplyDeleteCikgu nak nota NOVEL MERENANG GELORA
ReplyDelete