Bahagian A
(i)
(Masa yang dicadangkan: 40 minit)
(20 markah)
Baca
petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian, buat satu ringkasan tentang langkah-langkah untuk mengatasi kemasukan
pembantu rumah asing. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah
perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal
petikan.
Pembantu
rumah asing yang melarikan diri daripada majikan mempunyai niat lain sebelum
menjejakkan kaki ke negara ini. Sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu
bahawa pembantu rumah asing sebenarnya bukan untuk terus bekerja sebagai amah,
sebaliknya mencari peluang yang lebih baik. Golongan pembantu rumah asing
seumpama ini dilaporkan terlibat dalam pelbagai kes jenayah berkaitan dengan
harta benda dan salah guna permit untuk tujuan lain.
Kebanyakan
pembantu rumah yang terbabit dalam kegiatan tersebut diambil bekerja melalui
saluran yang tidak sah. Berikutan itu, kebanyakan majikan enggan bekerjasama
dengan pihak berkuasa termasuk pihak polis dan Jabatan Imigresen kerana bimbang
akan dikenakan tindakan kerana mengambil pembantu rumah secara haram. Ketua
Setiausaha Kementerian Dalam Negeri berkata, pihaknya mengeluarkan arahan
kepada semua pengarah imigresen seluruh negara supaya memantau kes pembantu
rumah asing dan bertindak tegas untuk mengatasinya.
Sudah
tiba masanya pihak berkuasa mengetatkan syarat pengambilan pembantu rumah
terutama agensi yang menawarkan perkhidmatan mereka. Jabatan Imigresen
misalnya, perlu mempunyai maklumat lengkap berserta gambar setiap pembantu
rumah yang diluluskan pengambilannya sebagai rekod. Setiap pembantu rumah yang
dibatalkan permitnya akibat terbabit dengan kesalahan jenayah, akan
disenaraikan gambarnya di Jabatan Imigresen atau dimasukkan ke dalam fail khas
untuk tindakan selanjutnya.
Agensi
pembantu rumah asing juga perlu bertanggungjawab dalam menyediakan pelbagai
latihan asas termasuk perkara-perkara yang berkaitan dengan adat resam dan
kebudayaan masyarakat setempat supaya pembantu rumah memahami suasana
persekitaran tempat mereka bekerja. Latihan seminggu atau tiga hari tidak
mencukupi. Selain itu, perjanjian antara majikan, agensi dan pembantu rumah
asing patut dibuat untuk mengelakkan sebarang masalah.
Fenomena
ini mencerminkan wujudnya ketidaksefahaman antara pembantu rumah asing dengan
pihak ketiga, iaitu agensi di negara ini atau agensi di negara asal pembantu
rumah tersebut. Faktor lain yang menyebabkan mereka melarikan diri termasuklah
didera secara fizikal dan mental serta tertarik dengan tawaran kerja atau gaji yang
lebih baik.
(Diubahsuai daripada Profesionalisme Isu Pembantu Rumah,
Dewan Masyarakat,
Disember 2005)
Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan
yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1. Apakah maksud rangkai kata wujudnya
ketidaksefahaman?
(2 markah)
2. Nyatakan dua faktor yang
menyebabkan pembantu rumah asing melarikan diri?
(4 markah)
3. Pada pendapat anda, apakah
kesan kemasukan pembantu rumah asing secara haram terhadap
masyarakat dan negara ?
(4 markah)
No comments:
Post a Comment