Thursday, November 28, 2013

Jom buat latihan ringkasan!

Soalan 1 : Ringkasan

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah obesiti. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

               Masalah obesiti dikatakan berpunca daripada perubahan gaya hidup serta penggunaan peralatan yang semakin canggih. Di Malaysia, masalah ini semakin ketara kerana kita mengamalkan gaya hidup moden yang canggih.

               Obesiti berlaku dalam kalangan kanak-kanak juga. Hal ini kerana kanak-kanak zaman sekarang lebih suka menghabiskan masa di hadapan komputer dan televisyen daripada meluangkan masa bermain di padang permainan.

               Oleh sebab itu, Persatuan kajian Obesiti Malaysia (MASO) telah mengeluarkan satu garis panduan, iaitu Amalan Klinikal Pengurusan Obesiti 2004. Garis panduan ini bertujuan mengawal masalah obesiti di Malaysia secara lebih berkesan. Selain itu, garis panduan ini memperbaiki tahap kesihatan rakyat serta meningkatkan mutu perkhidmatan institusi kesihatan sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta.

               Antara garis panduan yang ditetapkan termasuklah program terapi berat badan, iaitu sekurang-kurangnya penurunan sebanyak sepuluh peratus daripada berat badan yang asal. Apabila berat badan yang disarankan berjaya diperoleh, doktor akan meneruskan sesi tersebut.

               Obesiti dapat juga ditegah melalui amalan gaya hidup sihat. Senaman penting untuk mengekalkan kesihatan dan menurunkan berat badan. Aktiviti fizikal seperti berjoging dan berjalan kaki merupakan cara yang paling mudah untuk mengurangkan berat badan. Selain itu, peranan ahli keluarga dalam memberikan sokongan moral serta perubahan sikap individu amat penting untuk memastikan usaha menurunkan berat badan berjaya dilakukan.

               Kita hendaklah mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil berat tentang permakanan. Makanan yang berlemak dan berminyak hendaklah dikurangkan serta tabiat makan secara berlebihan dan pengambilan makanan segera harus dielakkan.

Selamat mencuba!

No comments:

Post a Comment